Archive for February, 2009

UCAPAN ASSALAMUA’LAIKUM W.B.T

Posted: February 24, 2009 in pikir-pikir

meet

Yo,hello, hai, woi, good morning, shobahal khair, shobahal fol, apa habaq, o haio, ni hau,vanakkam dan wan an adalah antara ucapan salam yang sering kita gunakan pada masa ini tidak kira masa dan tempat. Kadang-kadang langsung tiada ucapan salam yang diucapkan apabila berjumpa. Mengapakah ucapan Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh jarang sekali kita gunakan sebagai salam pembuka bicara sedangkan kita mengaku kita seorang muslim? Seandainya digunakan pun, kita lebih selesa menggunakan ucapan hello terlebih dahulu dan kemudiannya barulah mengucapkan salam. Bukankah itu semua budaya-budaya orang yang bukan Islam? Sepatutnya kita mengikut mereka, ataupun mereka mengikuti kita?

Salam Penghormatan Dalam Islam

Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh adalah salam penghormatan dalam Islam. Sabda Nabi s.a.w, “ Jika salah seorang di antara kamu bertemu dengan saudaranya, hendaklah ia mengucapkan salam kepadanya.” Ini merupakan adab seorang muslim yang di ajar sendiri oleh Nabi untuk dipraktikkan oleh umat Islam seluruhnya. Salam adalah satu penghormatan yang diturunkan oleh Allah kepad RasulNYA, dan juga merupakan ucapan penghormatan ahli syurga. ALLAH SWT berfirman :

44. sambutan penghormatan Yang akan diberi Tuhan kepada mereka semasa menemuiNya ialah ucapan “Salam” (selamat sejahtera); dan ia telah menyediakan untuk mereka pahala balasan Yang mulia.

Ini merupakan salam penghormatan yang diredhai oleh Allah untuk digunkan oleh para hambaNYA dan juga diredhai oleh rasulNya untuk digunakan oleh pengikut baginda dan para umat baginda sepeninggalan baginda. Oleh kerana itu, seorang muslim tidak boleh mengganti salam penghormatan Islam ini dengan bentuk yang lain seperti contoh-contoh di atas. ALLAH SWT berfirman :

86. dan apabila kamu diberikan penghormatan Dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu Dengan Yang lebih baik daripadanya, atau balaslah Dia (dengan cara Yang sama).

Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. Yang dimaksudkan dengan penghormatan yang lebih baik adalah dengan menambah salam penghormatan yang diucapkan kepada kita. Jika dia mengucapkan, “Assalamu’alaikum warahmatullah”, maka jawablah “Wa’alaikumussalam warahmatullahi wa barakatuh.” Atau, paling tidak, kamu menjawab yang sepadan, dengan mengucapkan, “Wa’alaikumussalam warahmatullah.” Dalam riwayat Abu Daud dan Termizi dengan sanad sahih disebutkan riwayat daripada Imran bin Husain bahawa ada seseorang yang datang kepada Nabi s.a.w, lalu mengucapkan, “Assalamua’laikum.” Baginda menjawabnya, lalu dia duduk. Selanjutnya Baginda bersabda, “ Sepuluh.” Sesudah itu datang pula orang berikutnya. Dia mengucapkan, “assalamua’laikum warahmatullah.” Baginda menjawabnya, lalu dia duduk. Selanjutnya baginda bersabda, “Dua puluh.” Kemudian datang pula orang yang ketiga. Dia mengucapkan, “assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh.” Baginda menjawabnya, lalu dia duduk. Selanjutnya baginda bersabda, “Tiga puluh.” Maksudnya, orang mengucapkan salam secara sempurna itu memperoleh tiga puluh kebaikan atau pahala.

Kepada siapa kita mengucapkan salam?

Dalam hadith Bukhari dan Muslim disebutkan riwayat daripada ‘Abdullah bin Umar r.a., bahawa ada seseorang bertanya kepad Nabi s.a.w., “Amalan Islam yang bagaimana yang terbaik?” Baginda menjawab, “ Kamu memberi makan dan kamu ucapkan salam kepada orang yang sudah mahupun belum kamu kenal.” Ini merupakan petunjuk Islam yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. Iaitu kamu ucapkan salam kepada kaum muslimin yang sudah kamu kenal mahupun yang belum kenal. Sebahagian ulama mengatakan, “ Ucapan salam pada umat islam dewasa ini hanya terbatas pada sesama mereka yang sudah kenal. Ini merupakan sebahagian daripada tanda kiamat. Sebenarnya, yang menjadi kewajipan setiap muslim adalah menyebarkan salam di antara sesama manusia, baik kepada yang sudah ataupun belum dikenali, kecuali kepada ahlu kitab, orang-orang musyrik dan kaum paganis.

Kewajipan memberi salam

Diriwayatkan dalam hadis sahih bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: “Yang kecil(muda) memberi salam kepada yang tua, yang berjalan memberi salam kepada yang duduk, yang naik kenderaan memberi salam kepada yang berjalan dan yang sedikit memberi salam kepada yang banyak. Sabda nabi s.a.w., “Yang kecil(muda) memberi salam kepada yang tu.

Keutamaan mendahului ucapan salam

Diriwayatkan daripada Jabir r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hendaklah yang berkenderaan memberi salam kepada yang berjalan kaki, sedangkan yang berjalan kaki memberi salam kepada yang duduk. Jika ada dua orang yang sama-sama berjalan kaki, maka yang memulakan dengan ucapan salam adalah lebih utama.” Baginda juga bersabda: “Orang yang paling dekat kepada ALLAH adalah yang lebih dahulu memulai ucapan salam.”

OLEH ITU MARILAH KITA SAMA-SAMA MENGUCAPKAN UCAPAN SALAM DALAM SEBUTAN YANG SEBETUL-BETULNYA DAN JAWAB SEBAIK MUNGKIN..