Archive for March, 2010

Assalamualaikum wbt.

Ibuku sering menasihatiku, “Hang bila dah besaq nanti, dah berjaya, hidup senang, jangan lupa adik-beradik, sepupu-sepupu hang yang susah. Bantu depa. Jangan dok sibuk tolong orang lain, tapi adik beradik sendiri terabai. Tutup mata.”

Jadi, aku nak nasihatkan diriku dan sahabat-sahabiah sekalian, “ Bukankah kita di persatuan PERUBATAN ibarat satu keluarga. Susah sama susah, senang sama senang. Kalau persatuan kekurangan wang untuk menjalankan program apa salahnya kita sumbangkan. Hehe.”

Maka dengan ini jom kita sama-sama pakat sumbangkan selai dua not junaih warna hijau mahupun merah ke Kejohan Sukan PCI. Untuk pengetahuan sahabat-sahabat sekalian, AJK KSPCI ada menganjurkan “sistem tajaan ahli PERUBATAN” bagi menampung kekurangan wang untuk melaksanakan program tersebut.

Aku melihat betapa beruntungnya kita kerana peluang untuk mendapat pahala terbuka seluas-luasnya. Analoginya begini.

Anda seorang doktor pakar yang terkenal. Sekali membuat pembedahan RM 30 ribu masuk dalam akaun. Satu hari anda pulang ke kampung halaman. Lalu terdetik di hati anda untuk membuat sedikit kebajikan. Lalu anda pun bertanya kepada ibu anda, “mak, ada tak orang miskin kat kampung kita?” “Apa pulak takdaknya, ramai yang miskin. Tapi yang paling miskin mak rasa, Mat Ketam yang dok kat tepi sungai tula”, jawab ibu anda. Terus anda melompat ke atas motosikal dan merempit selaju mungkin kerana tidak sabar untuk berbuat kebajikan.

Adapun Mat Ketam baru sahaja pulang dari laut dan alhamdulillah tangkapan ketamnya sangat banyak pada hari itu sehingga mengembungkan koceknya yang bertampal-tampal. Hatinya cukup senang atas pemberian ALLAH. Pulanglah dia dengan senyuman kepuasan dan kesyukuran ke rumah. Bilamana pulang ke rumah, dilihat pula isterinya yang taat, yang pandai menjaga kehormatan diri sewaktu dia ke laut dengan senyuman yang manis dan solekan yang bersahaja menambahkan lagi rasa senang dalam hatinya. Terlupa sebentar yang dia seorang yang susah yang mana rumahnya sering ditimpa dahan-dahan pokok ketapang dek kebahagiaan yang ALLAH beri kepadanya hari itu. Tiba-tiba datang pula anda dengan membawa buah tangan berupa not-not biru menambahkan lagi kecerian hidupnya hari itu. Mat Ketam pun segera melakukan sujud syukur atas segala pemberian ALLAH kepadanya. Maka tiada hentilah dia mengucapkan kalimah Alhamdulillah.

Syahadan, pulanglah anda ke rumah dengan hati yang puas dapat membuat kebajikan. Setibanya di rumah, terlihatlah oleh anda seorang lelaki bermuka cengkung, pucat, bermuram durja, nafasnya tersekat-sekat, sesekali kelihatan mengeluh, kurang terurus pakaiannya bersama-sama dengan seorang anak kecil ditangannya. Jelas kelihatan penderitaan di mukanya. “Siapa tu mak?”, soal anda. “Ni, anak Pak Mail. Dia baru hilang kerja, kilang dia bungkuih sebab ekonomi merosot katanya. Dia datang nak jumpa hang. Dia nak mintak pinjam duit. Hang ada tak lagi duit?”, soal ibu anda.

Tanpa berfikir panjang terus anda keluarkan lagi berkeping-keping not biru dan merah lantas memberi kepada anak Pak Mail. “Tak payah bayar balik, saya sedeqah”, kata anda.Mukanya yang muram kini kembali bercahaya, nafasnya kembali lancar, aliran darah kembali mengisi salur-salur darah di mukanya. Harapan untuk dia terus hidup kembali menyala. Semuanya atas kemurnian hati anda yang suka memberi dan membantu orang yang memerlukan pertolongan. Selesai.

Faham tak analogi ni? Tak faham, tak pa, mari kita fahamkan bersama-sama. Perbuatan anda memberi sedekah memang telah dijanjikan ALLAH pahalanya sepertimana firman ALLAH SWT;

bandingan (derma) orang-orang Yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih Yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa Yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya. – Al-Baqarah:261

Sedekah anda kepada Mat Ketam adalah semasa Mat Ketam tidak begitu memerlukannya. Anda beri sedeqah kepadanya ataupun tidak, hatinya sudah senang dan gembira. Senang dengan hasil tangkapan, senang dengan isteri yang solehah dan bertambah senang dengan pemberian anda. Tetapi bagi anak Pak Mail, pemberian anda telah melepaskannya sedikit sebanyak daripada bebanan yang dia pikul. Mukanya kembali bercahaya, dadanya sedikit lapang lantas bernafas dengan elok. Harapan untuk terus hidup muncul semula.

Barangsiapa yang melepaskan dari seorang Muslim, satu kesukaran dari kesusahan duniawi, maka Allah swt akan melepaskannya satu kesukaran dari kesukaran akhirat, dan Allah swt akan membantu seseorang hamba selagi mana hamba itu membantu saudaranya”(Riwayat Muslim)

Maka untuk kes anak Pak Mail, anda bukan sahaja dapat fadhilat bersedeqah malah fadhilat melepaskannya daripada kesukaran dan kesusahan duniawi. YA, ANDA DAPAT LEBIH.

Oleh itu marilah kita sama-sama merebut peluang ini untuk meringankan beban sahabat-sahabat kita iaitu ajk-ajk Kejohanan Sukan PCI. Hilangkan kebimbangan mereka, hilangkan keresahan mereka, hilangkan kerut-kerut di dahi mereka, beri peluang untuk mereka menarik nafas lega, nafas kepuasan dengan memberi sepenuh kerjasama dan menyumbang melalui “sistem tajaan ahli PERUBATAN” yang disediakan.
Tidak perlu menyumbang banyak. Cukuplah seorang LE 5 atau LE 10. Kumpul 10 atau 5 orang dan tajalah satu unit. Realisasikanlah harapan mereka. Mana tahu dengan sedikit sumbangan ini ALLAH bantu kita di masa-masa akan datang dengan syarat kita ikhlas.
Akhir kata,

“JOM MENYUMBANG”

—————————————————————————————————————————————————

BERSAMAPERUBATAN

Persatuan PERUBATAN-1

Posted: March 7, 2010 in pikir-pikir

Assalamualaikum wbt.

Musim-musim peperiksaan ternyata mengaktifkan sel-sel otak dan mencergaskan diri ini untuk menulis. Pertama-tamanya ku bersyukur ke hadrat ALLAH kerana masih aku diberi pinjam nyawa untuk meneruskan kehidupan sebagai hamba. Bilamana bercakap soal hamba, langsung tiada ruang untuk bermegah-megah dengan kejayaan, dengan segala pencapaian kerana sesungguhnya semua itu datang dari ALLAH. Ya ALLAH bantulah dan berilah kekuatan kepadaku agar aku redha dengan segala pemberianMU dikala susah mahupun senang.

“Bersatulah atas nama Persatuan PERUBATAN”

Sebelum mesyuarat agung tahunan lagi ungkapan ini berputar-putar di dalam kotak fikiranku. PERUBATAN merupakan wasilah yang terbaik untuk menyatukan kita semua. Dalam PERUBATAN ada pelbagai wajah perangai manusia. Ada yang kuat bertalaqi, ada yang kuat belajar, ada yang kuat berpersatuan, ada yang rajin ke gym, ada yang rajin bersukan, ada yang suka bermain musik, ada yang suka masak dan sebagainya. Dan itulah realiti semasa samada di sini ataupun di tempat lain. Memang benar, kesatuan yang paling kukuh dan kuat adalah kesatuan akidah. Kita bersatu kerana ALLAH. Tetapi, bagaimana untuk kita mencapai ke arah itu? Ya, melalui persatuan PERUBATAN. PERUBATAN merupakan alat yang kita ada untuk bersatu. Ini adalah kerana kita mempunyai satu persamaan iaitu belajar perubatan.

Maka aku menyeru pada diriku dan rakan-rakan sekalian, marilah kita bersatu. Berlapang dadalah pada perbezaan pendapat tetapi belajarlah untuk menghormati orang yang kita berbeza pendapat. Tidak cukup setakat berlapang dada tanpa diikuti dengan hormat dan adab. Senario zaman ini, aku melihat begitu mudah orang menyebut berlapang dada, berlapang dada. Namun sikap hormat dan beradab yang juga penting tiada. Kemudian berbeza pendapat lagi, berbahas lagi, menyeru berlapang dada lagi dan masih tiada sikap hormat dan beradab. Maka pusingan ini bermula lagi. Berpusing-pusing di atas paksi tiada hentinya. Kemudian saling menyalahkan antara satu sama lain bahawa dia tidak mahu berubah, tidak mahu berlapang dada.

“Bekerjalah demi persatuan yang kita cintai”

Ya, pertama kita perlu cinta, barulah pengorbanan itu ada. Cinta dimanifestasikan dengan perbuatan yang benar, tepat dan tidak menyalahi syarak adalah cinta yang sebenar. Bukan sekadar lafaz di mulut sahaja. Setelah hampir tiga tahun menjadi AJKT persatuan, cintaku ini masih belum benar-benar di uji. Orang yang benar-benar cintakan persatuan tidak hanya bekerja bersungguh-sungguh bila mana menjadi AJKT, tetapi jadi ahli biasa pun mereka terus bekerja, terus istiqamah dengan persatuan. Sesungguhnya aku mengagumi kamu-kamu sekalian yang bekerja dengan kesedaran dalam diri yang tinggi akan kepentingan berpersatuan walaupun anda sekalian hanyalah ahli biasa tetapi pengorbanan anda luar biasa.

Aku juga kadang-kadang bertanyakan kepada diriku, adakah aku sekuat kalian? Semoga aku diberi kekuatan seperti anda semua. Pernah sekali sahabatku memberi peringatan bahawa buatlah kerja kerana ALLAH bukan kerana persatuan. Memang itu benar dan apabila aku mengatakan bekerja demi persatuan maka ia bermakna bekerjalah demi ALLAH melalui persatuan. Sekali lagi persatuan kita adalah wasilah ataupun alat untuk kita mencapai redha ALLAH. Aku yakin dan percaya sahabat-sahabat yang terus bersemangat bekerja untuk persatuan adalah sahabat-sahabat yang meletakkan ALLAH adalah matlamat utama yang diterjemahkan melalui gerak kerja persatuan. Sesungguhnya besar sekali peluang yang ada dalam persatuan untuk dimanfaatkan dan digunakan oleh kita untuk mendapatkan balasan baik di akhirat kelak. Oleh itu, sahabat-sahabat yang selesa untuk bergerak dalam platform yang lain, aku seru marilah kita bersama-sama berkerja memantapkan persatuan PERUBATAN yang kita cintai. Dalam pada masa yang sama pikirkanlah kepentingan persatuan kita ini, bukan untuk tujuan yang lain. Kita sama-sama ahli persatuan PERUBATAN. Sekian.