Archive for the ‘ceritera’ Category

Kek Cip Coklat dan Stim Oven

Posted: May 2, 2009 in ceritera

Hari tu hari Jumaat. Tetiba ja aku kempunan nak makan kek coklat. Nak pegi beli malas. Sebabnya mahal(padahal LE 1.50 je pun sepotong(jimat)) dan bole makan sikit je pun. Tak boleh puaskan satiety center aku.Lagipun jauh nak kena merantau ke pasar Camp Cesar. Jadi aku pun jenguk-jengukla kat atas para dapur, dalam peti ais dan tempat telur. CANTEKK. Semua ada. Cukup untuk aku buat kek coklat. Jadi…

“Jom Ayeikh, wat kek”

“Bereh”

Maka telur-telur dan mentega diblend sehingga sebati. Seterusnya susu ditambah dan kerja-kerja blend diteruskan sehingga semuanya homogenous. Simple sungguh kek aku ni. Kemudiannya sebatian dituang ke dalam bekas hijau yang aku menang masa Hari Raya 1st Year. Ya, inilah bahan yang paling penting sekali dalam resepi kek cip coklat aku ni. Tepung Kek Coklat  segera. Haha, aku suka guna tepung segera ni. Cepat dan pasti jadi. Tak pernah lagi aku buat tak jadi. Dan yang paling penting adalah sedap dan dapat memuaskan nafsu aku. Tapi aku tetap bercita-cita nak buat kek guna adunan sendiri, tak nak guna tepung kek segera. Tengokla cuti summer ni ka.

image154_resizetak sia-sia aku beli untuk jadikan hadiah time raya aritu. bolela aku guna. banyak berjasa mangkuk hijau yang besar ni.

Dan bergilir-gilirlah aku dengan Ariff mengacau dengan pantas dan kuat ibarat mixer sehingga sebatian menjadi seperti yang sepatutnya. Bila diangkat dengan sudu, ia turun tanpa putus-putus. Setelah loyang telah dilapisi dengan mentega dan tepung, sebatian dituang dengan penuh gaya oleh Ariff. Masa yang ditunggu-tunggu telah tiba, iaitu masa untuk bakar kek kami ni. Tak sabar aku nak makan. Aku pun bukakla oven. Bukak ja oven tu, berderai karat-karat jatuh dari atas. La, ingatkan elok, rupanya dan reput. Aku pun bersih-bersihkanla oven tu. Bila aku rasa dah bersih, aku pun nyalakanla api. Tak besar-besar apinya. Kecik ja.

POM. Aku pun tak tau macamana nak jelaskan bunyinya macamana. Tapi yang jelasnya sedikit letupan kecil di bahagian belakang oven aku tu. Rupa-rupanya paip dia bocor. Nasib baikla meletup kecil-kecilan. Kalau besar-besaran. Tak ke haru. Tak dapatla aku nak makan kek coklat.

image155_resize1kitchen + Oven….Oven yang kat bawah tu….yang ada pemegang..

image156_resize1paip gas yang bocor…gas dok kumpul kat belakang dan POM…letupan kecil-kecilan berlaku.

“Ganer ni Ayeikh. Oven tak bole pakai ni. Nak bakar kat mana”…….aku

“Kita beli jela oven kat bawah ni”……..aku

“Serius nak beli, ke nak bakar umah Kedok ja. Ehsan ke”………ayeikh

“Malas la plak nak pi rumah orang”………..aku

“Abis tu nak buat macamana”…………ayeikh

“Hmmm. Hmmmm. Hmmmmmm.”……….aku

Sambil-sambil tu aku dok pusing kepala. Tengok-tengok apa yang patut dan akhirnya…

“Kita kukus jela kek ni”…………aku

“Bole ke?”…………..ayeikh

“Ntah, cuba jela. Aku macam penah dengar ja orang kukus kek. Ke aku silap dengar?”………aku

“Lantakla, daripada buang, baik cuba ja. Jadi-jadila. Tak jadi pun makan gak”………..aku

Jadi aku pun kumpul-kumpulkanla periuk yang ada untuk buat periuk kukus. Maka jadilah oven kukus. Hahaha.

image050_resizehasil gabungan beberapa periuk terhasillah oven kukus a.k.a STIM OVEN

image051_resizesapu tangan tu untuk cegah daripada wap keluaq sebab periuk tutup tu berlekuk-lekuk…lubang sana, lubang sini…wap dok keluaq…inilah salah satu kegunaan sapu tangan…

Akhirnya, Taraaa…

image054_resize1Kek Cip Coklat Kukus

image055_resizeSimetri yang cantik menandakan kek masak dengan elok dan sekata..

Seterusnya adalah masak coklat untuk topping.

image056_resize

Selepas ditoppingkan dengan lelehan coklat cair jadilah ia ini..

image057_resizemembangkitkan nafsu aku nak makan..haha..korang punya nafsu aku tak taula..

Jadipun akhirnya kek coklat aku ni. Memang aku puas hati. Sebabnya:

1. Alhamdulillah, tak perlu aku berjalan jauh bakar kat rumah orang kalau aku rajin dan nampaknya aku macam malas aritu. Alamatnya buang dalam sinki jela. Kan dah membazir tu.

2. Dapat makan kek coklat. Hehe. Puas satiety center aku aritu. Dekat separuh aku tibai.

3. Tak payah aku beli oven. Lepas-lepas ni masak kek guna kukus jela.

4. Dan yang paling penting sekali adalah aku menggunakan anugerah ALLAH iaitu akal fikiran aku untuk selesaikan masalah ni. Syukran Lillah. Ada hikmah di sebalik kejadian ni. Itulah yang sering berlaku dalam kehidupan kita seharian. Sentiasa sahaja masalah dan ujian menimpa kita dan janganlah kita sekali-kali mengeluh kerana setiap ujian yang ALLAH beri adalah untuk mengajar kita. Sebaliknya sentiasalah berfikiran positif, berfikir dan mencari hikmah-hikmah disebalik itu. Pastinya kita akan lebih tabah dan bersyukur. Sesungguhnya ALLAH menurunkan ujian setara dengan kemampuan hamba-hambaNYA. Yang penting, jangan cepat melatah, cool dan observe keadaan sekeliling. Be creative. Manfaatkan segala yang ada untuk selesaikan masalah kita dan jangan lupa untuk berdoa. Tapi masalah aku ni kecik ja. Haha.

Lepas tu aku buat kek bila aku rasa nak makan dengan senang hati. Sampai la ni dah dekat 8 biji kek kot rasanya dan ramai yang dah merasa. Hehe, tapi kek segera jela. Nasibla.

TAPI AKU KEMPUNAN NAK MAKAN KUIH RAYA NI. JADI KEPADA SAPA-SAPA YANG ADA OVEN DAN BALIK MALAYSIA, BAGI-BAGILA AKU PINJAM OVEN TU. INILA MESEJ YANG PALING PENTING YANG AKU NAK SAMPAIKAN……SEKIAN…..

FLASH OF GENIUS

Posted: March 2, 2009 in ceritera

greg_kinnear_in_flash_of_genius_wallpaper_6_800

Sir Isaac Newton menjumpai wujudnya gravity apabila buah epal jatuh di depannya. Archimedes mendapat idea untuk menentukan samada mahkota King Hiero II emas atau tak semasa beliau sedang mandi di dalam tub mandi dan menjumpai teori sesaran air. Semuanya menjumpai bukan mencipta, kerana semua ilmu yang ada sekarang telah wujud. Hanya yang tinggal adalah untuk manusia mencari. Jadi, tak perlu mendabik dada atas kejayaan yang ada. Semua tu adalah kurniaan ALLAH. Kapal terbang dicipta berdasarkan pemerhatian ke atas burung. Banyak penemuan sains berdasarkan pemerhatian termasuklah penemuan “intermittent windshield wiper” ataupun wiper yang kita guna masa hujan tu.

Time exam nila seronok tengok movie. Dalam hari-hari ulangkaji untuk exam pathology, aku dicadangkan oleh Abdul Haq untuk tengok movie ‘Flash of Genius”. Movie tentang seorang engineer yang berjaya menjumpai litar yang membolehkan wiper kereta berfungsi seperti yang ada sekarang iaitu semasa dalam hujan. Pada mulanya wiper kereta bergerak tanpa henti dan menjadi masaalah ketika hujan. Berdasarkan pemerhatian Robert William Kearns ke atas pergerakan kelopak mata yang berkelip setiap beberapa saat dan tidak sentiasa berkelip, beliau mendapat idea untuk mencipta intermittent windsheild wiper dan berjaya menjumpai kaedah untuk melakukannnya dengan mengubah susunan litar yang ada.

Seterusnya beliau cuba untuk memperkenalkan wipernya kepada Ford dengan hasrat untuk menjadi supplier kepada Ford. Malangnya Ford telah menggunakan rekaannya tanpa persetujuannya malah mengisytiharkan hak milik mereka. Bermula pada saat inilah hidup Robert William Kearns berubah. Nak tau lebih lanjut kena tengok sendirilah. Malas pulak nak taip panjang-panjang. Tapi movie ni memang bestla. Based on true story.

Cuma yang aku nak petik sikit ialah tentang sikap Robert William Kearns ni. Sikap yang mementingkan perjuangannya sehingga mengabaikan keluarganya. Adakah ini merupakan satu sikap yang betul dan bertanggungjawab? Ataupun salah keluarganya yang tak memberikan sokongan. Hmmm..by the way, common sense setiap individu berbeza-beza. Kadang-kadang betul di mata kita, salah di mata orang. Setepatnya jadikanlah Al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan. Tetapi mampukah kita.. Hmm.. tak tahu, kenalah tanya pada yang tahu.

Dalam babak movie ni juga Robert William Kearns berkali-kali ditawarkan dengan duit sehingga mencecah usd 30 juta. Tapi dia sikit pun tak terliuq. Orang melayu kata pandang sebelah mata. Wat dek ja. Alangkah bagusnya kalau kita pun macam tu. Sikit pun tak terliuq dengan tawaran duit. Sama-sama kita berdoa. Nak kutuk orang makan rasuah ni memang seronok dan banyak modal nak wat cerita. Tambah-tambah lagi ahli politik zaman sekarang. Tapi takut jugak bila kena kat batang hidung. Masa tu hanya imanlah pendinding diri. Jadi, janganlah membenci seseorang itu atas diri dia sendiri, tapi bencilah perbuatan salahnya itu. Takut-takut kena kat kita balik. Hidup ni macam roda. Tak selama-lamanya kita kekal dalam iman(sentiasalah berdoa dan berusaha supaya sentiasa kekal dalam iman) dan tak selama-lamanya kita kekal dalam kejahatan kerana ALLAH Maha Berkuasa ke atas hambaNYA.

Semasa babak akhir movie ni, peguam Ford cuba mempengaruhi para juri dengan ciptaan-ciptaan mereka sebelum ini yang begitu gah dan mendakwa logiknya “intermittent windsheild wiper” juga adalah ciptaan mereka. Betapa bongkaknya manusia apabila mengecapi sedikit kejayaan. Dengan kekuasaan dan wang yang ada mereka menindas Robert William Kearns seboleh-bolehnya. Memang benar wang membuatkan manusia bongkak sekiranya tidak diuruskan dengan betul. Namun begitu, kebenaran tetap menang walaupun mengambil masa bertahun-tahun. Ford kalah dan terpaksa membayar Robert William Kearns usd 10.1 juta. Harap-harapnya macam tu jugaklah yang akan berlaku pada negaraku yang tercinta. Semoga kebenaran akan muncul jua akhirnya. InsyaALLAH keadilan itu ada biarpun lambat, kerana ALLAH MAHA ADIL.

BELITONG DAN ORANG KAMPONG

Posted: January 19, 2009 in ceritera

Ni kisah yang dikisahkan oleh mak aku kepada aku sebagai pengajaran sepanjang hayatku. Tak tahulah dari mana mak aku dengar dan tahu dan aku pun tak nak amik tahu, sebab tak penting pun tahu sumber kisahnya melainkan tahu isi dan pengajarannya. Tetapi awas, kisah-kisah yang membabitkan ISLAM mestilah sentiasa dari sumber yang betul lagi tepat supaya tak termasuk kisah-kisah israeliyat, agar manusia tak menjadi lebih sesat kerana perbuatan kita yang tak beringat untuk menjadi lebih cermat.

Alkisah bermula dengan seorang pesara yang banyak duitnya( biasala orang baru pencen, duit banyak) dengan idea yang luar biasa canggihnya. Hajatnya nak beli tanah di tepi laut. Namun begitu bukan tanah pantai Teluk Batik mahupun pantai Teluk Senangin yang ditagihnya, tanah bakau menjadi pilihan hati. Sungguh berbeza nafsunya. Dijadikan cerita, hebohla satu kampong. Habis ayam-ayam di reban terbertelur tak cukup hari. Kecoh dan gamat di buat oleh si pesara. Merata- rata kedai kopi orang kampong bercerita. Ikan-ikan di laut berkenduri kesyukuran kerana tiada nelayan yang turun menangkap ikan, dek sebok membincangkan masalah hal ehwal tempatan.

Apala bodo pi beli tanah bakau nak buat apa.

Bukannya bole buat rumah pun.

Banyak duit dia nak tambak tanah.

Ni mesti dulu pecah amanah, tak pun rasuah.

Ala, dia dah gilala tu. Biaq kat dia.

Nanti bila dia susah nanti jangan sapa-sapa tolong dia. Orang bagi nasihat jangan beli tak mau dengaq.

Dia tu memang macam tu. Keras kepala. Aku kenai lama dah dia tu. Memang dari kecik macam tu. Benda pelik-pelik serah kat dia.

Haa. Benda-benda pelik(terkejut). Entah-entah nak buat tempat ajaran sesat pa. setan memang suka dok kat tempat-tempat macam tu.

Betoi, betoi, betoi.

Tak bole jadi ni. Rosak anak-anak kampong kita. Kita mesti report tok penghulu.

Bagus juga orang-orang kampong ni, begitu perihatin dengan anak bangsa. Akan tetapi, tuduhan tanpa bukti yang kukuh merupakan satu kezaliman(tak meletakkan sesuatu pada tempatnya). Di teruskan ceritanya, hiduplah si pesara dengan tohmahan-tohmahan orang kampong. Kemana saja pergi orang bercerita. Suatu hari orang kampong bertanya, “ hang nak buat apa dengan tanah tu MAT?”. “Aku nak bela belitong”, jawab MAT. Nah.. Semakin hebat dan rancak perbincangan-perbincangan di kedai kopi.

Hangpa dengaq tak yang dia nak bela belitong.

Hahaha. Apala susah sangat nak bela. Takat belitong tu orang pi kuti ja.

Macamana nak bela belitong. Mengarut.

Sah dah. Aku rasa dia memang dah gila.

Betoi, betoi, betoi.

Begitu mudah sekali membuat kesimpulan. Pantang berlaianan pemikiran, terus di cop GILA, SESAT. Adakah mereka sahaja yang betul? Adakah mereka sahaja yang berilmu? Adakah mereka sahaja yang sempurna? Tidak pernah melakukan kesilapan? Sebaik-baik orang mukmin ialah apabila bersalah,dia segera bertaubat.

Si pesara terus dengan projeknya. Sikit pun tak tergugat dengan kata-kata orang kampong kerana di dalam fikirannya telah terbayang keuntungan yang bakal di raihnya. Telah di pasak erat ke dalam subconscious mindnya bahawa dia akan berjaya disamping doa yang tak putus-putus kerana dia orang yang berilmu. Dia tahu bahawa doa adalah senjata orang Islam yang paling ampuh. Hanya kepada ALLAH dia meminta pertolongan. Sekiranya manusia ingin menolongnya pun, semuanya disebabkan oleh kuasa ALLAH yang menerbitkan petunjuk(impuls) ke dalam fikiran manusia tersebut dan diiringi oleh perbuatan menolong yang juga adalah atas kehendak, kuasa dan keredhaan ALLAH. Segala puji bagi ALLAH YANG MAHA KUASA. Maka, meminta tolonglah dari ALLAH agar dibukakan hati manusia untuk menolong kita, disamping usaha yang tak putus-putus ibarat muntahan peluru tentera ISRAEL yang tak pernah puas membunuh orang ISLAM.

Berbalik kepada cerita pesara tadi. Sebaik sahaja pemilikan tanah bakau berpindah ke tangannya, dia segera memulakan projek BELITONGnya. Untuk pengetahuan semua, SIPUT SEDUT dan SIPUT BELITONG adalah dua spesis yang berlainan. SIPUT SEDUT sifatnya seperti PIRENELLA CONICA, iaitu mempunyai lingkaran(spiral) dan permukaan cengkerang yang kasar(coarse tubercle). SIPUT BELITONG pula, sama seperti SIPUT SEDUT, cuma berbeza dari segi permukaan cengkerang dan saiz, iaitu mempunyai permukaan yang licin dan saiz yang lebih besar. Untuk kisah ini, siput yang dimaksudkan adalah SIPUT SEDUT walaupun aku nyatakan projeknya adalah projek BELITONG. Ini adalah kerana sejak dari kecil lagi aku panggil siput sedut, belitong. Tahun lepas, masa cari lokan dengan adik aku, barula aku tahu beza dua ekor siput tu. Kalau adik aku tak cerita, sampai ke sudah aku tak tahu. Tapi kalau silap, silap adik akula(sifat yang suka meletakkan kesalahan atas orang lain). Haha. Dia pun dengar daripada orang lain. Tapi selepas aku guna AJI GOOGLE, sama ja. Jadi biarlah aku gunakan istilah BELITONG.

spiral and course tubercle..tak taula ada parasit ke tak dalam tu.huhu

spiral and course tubercle..tak taula ada parasit ke tak dalam tu.huhu

memang feberet aku nih. klimaksnya masa sedut. fuh..nikmat betul.. syukran lillah sebab jadikan siput sedut ni..

masak lemak belitong..memang feberet aku nih. klimaksnya masa sedut. fuh..nikmat betul.. syukran lillah sebab jadikan siput sedut ni..

Maka si pesara pun memulakan projek BELITONGnya. Pokok-pokok bakau ditebang untuk dibuat laluan dan kayunya di jual. Tanah bakaunya dipetak-petakkan macam sawah cumanya lebih kecil tetapi panjang. Petak-petak tu dipisahkan oleh parit yang mengandungi air tawar supaya siput belitong tak lari keluar. Dibelinya baka belitong dari Indonesia kerana siput belitong Indonesia besar- besar walaupun orang kecil-kecil dan diletakkan ke dalam kolam belitongnya. Cukup hari bila belitongnya dah besar dia pun mula mengutip hasil. Sifat siput belitong ni adalah tak sukakan air laut. Bila air laut pasang ia akan memanjat pokok. Bila air laut surut, dia akan turun ke dalam selut bagi mencari makanan. Aku pernah gi cari masa kecik-kecik dulu. Berdarah jugakla kaki terpijak kaca. Tapi memang best. Tengah-tengah cari, tiba-tiba nampak babi hutan. Mak aku pantang kalau orang cakap besar masa cari siput belitong. Maka, bila air pasang, pekerja si pesara pun mengutipla siput belitong menggunakan sampan.

Banyakla siput yang berjaya dikeluarkan oleh kolamnya setiap hari. Beratus- ratus kilo sehari. Sekilo RM 6.00 ke 7.00. Bayangkan, berapa banyak keuntungan yang dia dapat kalau boleh keluarkan 400 ke 500 kilo sehari. Lumayan tu. Alkisah pun di akhiri dengan keinsafan penduduk kampong. Semuanya tergamam dan terkesima melihat keuntungan yang diperolehinya. Si pesara tidak pernah menyimpan dendam kerana dia tahu itu bukan sifat orang Islam sejati dan dia tahu mereka merupakan orang yang jahil. Maka kembali tenanglah penduduk kampong. Masing-masing menginsafi diri. Tak kurang juga ada yang menawarkan anak untuk menjadi “besan”. Namun masih ada yang dengki, menyimpan dendam di hati, hasil kejahilan diri sendiri atas mulut yang pedasnya mengalahkan cili api, menjaja, menghasut, memfitnah kesana ke mari, ibarat TV3 yang bersiaran tanpa henti. Akhirnya, bomoh sakti jua yang dicari, untuk memuaskan nafsu diri atas dorongan syaitan yang keji. Akan tetapi, si pesara begitu ampuh, seampuh Laksamana Sunan. Hasil ketaatan yang tak berbelah bagi kepada ALLAH. Hasil amalan yang tak pernah ada erti cuti mahupun MC. Segala sihir yang dihantar pulang kembali kepada si pengirim ibarat cahaya yang terpantul di cermin. Syahdan, sakitla si pendengki atas segala perbuatannya. Matilah dia dalam keadaan yang aib.-tamat-

*cerita yang lebih-lebih aku sendiri reka. Mak aku cerita sampai kejayaan si pesara tu ja. Dialog-dialog tu rekaan semata-mata. Aku ubah secara besar-besaran. Tapi isi dan pengajaran masih sama.

Apakah pengajaran yang boleh diambil dari kisah di atas?(ada macam soalan SPM tak?)

Antara pengajaran yang boleh diambil adalah:

1. Jangan sesekali merendah dan menghina idea dan rancangan orang lain walaupun nampak pelik.

2. Jangan sesekali menfitnah orang.

3. Mengumpat tu ibarat makan daging saudara sendiri.

4. Sentiasa menambahkan ilmu di dada. Kuasailah sebanyak mana ilmu bermanfaat yang termampu.

5. Jangan sesekali berdengki dengan orang lain sehingga sanggup memusnahkannya, sebaliknya belajarlah daripadanya macamana untuk berjaya.

6. Sentiasalah berfikiran terbuka dan berlapang dada dalam menerima perbezaan.

7. Mengharaplah kepada ALLAH sahaja, sesungguhnya ALLAHla yang paling berkuasa.

8. Sentiasa berfikiran kritis, kreatif dan inovatif.

9. Berfikirlah luar dari kebiasaan supaya terbuka minda. Jangan disempitkan dengan satu cara melihat dan berfikir sahaja.

10. Manfaatkan bumi ALLAH sebaik-baiknya. Tiada satu pun yang ALLAH jadikan dengan sia-sia melainkan ada kegunaannya. Cuma kita sahaja yang masih belum ketemu manfaatnya.

Kebesaran ALLAH jelas terserlah selagi manusia mahu berfikir.

ABC Bank

Posted: November 15, 2008 in ceritera

ABC Bank merupakan singkatan bagi Arab Banking Corporation Bank. Bank ini merupakan bank rasmi untuk pelajar-pelajar MARA di Iskandariah melakukan transaksi wang. Sudah hampir dua tahun aku berurusan dengan bank ni. Ada satu kisah yang aku ingin kongsi mengenai bank ni.

Kisahnya begini, sebelum aku pulang bercuti ke Malaysia, aku ada minta seorang pegawai bank ni untuk menggabungkan akaun USD dan akaun Egyptian Pound dengan harapan setelah pulang dari malaysia bolehlah aku menggunakan kad untuk mengeluarkan duit. Sebabnya, sebelum ni kad ATM aku boleh guna untuk keluarkan duit dalam akaun USD sahaja dan baki yang tinggal hanya USD 5.80.

image0573

sampai kad tunggu giliran pun aku amik bawak balik..ish2

Selepas sahaja pulang ke Mesir, aku terus ke bank untuk keluarkan duit. Tetapi malangnya, pihak ABC bank masih belum menggabungkan akaun aku. Jadi aku terpaksala keluarkan ikut kaunter dan terpaksa beratur panjang. Pada hari tu jugak aku beritahu pegawai bank dan suruh dia buat sekali lagi. Sebelum tu aku beritahu tentang permintaan aku untuk gabungkan akaun pada 3 bulan sebelum tu. Katanya, ” I will try “. Aku pun pulang dengan penuh harapan.

Seminggu kemudian aku datang lagi sebab nak hantar duit ke malaysia. Alang-alang sampai aku pun cubala guna kad aku. Sekali lagi aku kecewa dan rasa tertipu. Akaun aku masih belum digabungkan lagi. Sekali lagi aku beritahu pegawai yang sama tentang masalah akaun aku dan sekali lagi dia berjanji untuk selesaikan masalah aku. Selepas habis urusan penghantaran duit aku pun pulang dengan sejuta harapan moga-moga kali ni berjayala berlakunya penggabungan akaun aku.

Dua minggu selepas tu, entah macamana aku boleh tersilap dan terdatang awal sejam kelas skill. Sepatutnya kelas mula pukul 10.00 pagi, tapi aku datang pukul 9.00 pagi. Mulanya aku ingat nak belajar kat library. Tapi selepas 10 minit aku dah mula rasa bosan. Aku pun amik keputusan untuk ke ABC bank. Kebetulan duit pun dah nak abis. Macam yang sebelum-sebelum ni, aku cubala cucuk kad ATM aku tu. Dan macam biasalah, aku terasa sedih dan tertipu. Kali ni geram dan marah pun ada.

Terus aku masuk dan sasaran aku kali ni adalah pengurus. Penat saja aku berurusan dengan pegawai, langsung tiada perkembangan yang positif. Seperti biasa aku mesti bertegur sapa dengan pengawal yang jaga tangga tu. Buat baik dengan pengawal ni banyak manfaatnya. Aku tanya pada dia.

Mudir fin(mana pengurus)?

Dia terus tunjuk pada kaunter pengeluaran duit. Pengurus tengah sibuk kira duit rupanya.

Terus aku jumpa dia dan cakap, ” assalamualaikum. I want to complaint about your officer. I don’t know either they do their job or not, because …” terus je dia suruh jumpa pegawai dia kat kaunter sebelah. Memang tak patut. Kalau aku nak complaint tentang pegawai dia, mestilah aku jumpa dia. Buat apa aku complaint kat pegawai dia juga. Langsung tak profesional. Tapi aku akur dan jumpa pegawai dia disebelah. Aku pun meluahkan perasaan aku pada dia.

“Three months ago, i have requested to one of your officer to merge my account. But nothing happen. Is she do her job or not!!”, luah aku dengan penuh kecewa.

” She is not my officer. Don’t angry to me. I will try to help you. By the way, you want to withdrawal your money?”

” Yes. Six hundred genih. Actually i want to merge my account because i dont want to bother you and it will be easy for me to withdrawal my money. No need to queu up wait for long time. I have class and bla bla bla”, luah aku lagi.

” I understand. You feel upset and angry. But pray to ALLAH everything will be ok.”

“Amin, insyaALLAH”.

Nasib baik dia memahami. Sejuk sikit hati ni bila dia suruh berdoa pada ALLAH. Selepas siap proses keluarkan duit, dia pun suruh aku jumpa dengan pegawai yang uruskan bahagian kad. Dia suruh aku beritahu kepada pegawai tu aku kecewa dan sebagainya. Moga-moga permintaan aku dilayan. Bagus juga mamat ni. Siap ajar aku lagi. Mungkin dia lebih memahami masalah dan perangai bangsa dia sendiri.

Jam dah menunjukkan pukul 9.50. Aku dah lewat untuk ke kelas skill. Tapi aku jumpa juga pegawai yang menguruskan kad tu. Dalam keadaan berdiri aku letakkan kad aku atas meja dia. Tapi aku agak kurang ajar jugakla sebab tak letak elok-elok. Aku lempar dengan perlahan kepada dia. Terus dia kata, ” No need to throw the card. Please sit down. Control your nervousness.” Memang betulla katanya tu. Aku pun jawab balik. Masa tu hati dalam keadaan sedikit marah.” If this happen for the first time or second time, i still can be patient. But this is for the fourth time. Are you doing your job?” Dengan senyuman dia jawab,” Actually we have sent your request to cairo branch, but they still not reply your request.Can you wait ten minutes. I will do it for you”. Nasib baik dia senyum. Lega sikit hati ni. Memangla cairo branch yang kena uruskan, tetapi alex branch tak buat follow up ke selepas tu. Aku memang tak sempat pun nak tunggu sepuluh minit. Saja ja jumpa dia supaya dia alert bila aku datang lain kali. Supaya dia amik berat tentang masalah pelanggan. Dari segi public relationship memang bagus. Senyum semua lengkap. Tapi tak guna kalau PR saja bagus tetapi kerja tak bagus, tak memuaskan. Aku pun terus amik kad dan ke kelas skill.

Kesimpulan dan pengajaran yang dapat aku ambil dari pengalaman aku ni ialah:

1. mesir memang merupakan tempat yang paling sesuai untuk melatih sifar sabar dalam diri.

2. PR dan kualiti kerja kena bergerak seiring. Tak boleh pandai cakap sahaja tetapi kerja tak reti buat.

3. Aku masih belum lagi dapat mengamalkan pepatah ” Jadilah seorang yang memahami orang lain tanpa mengharapkan orang lain memahami kita.”

4. Sabar lebih baik daripada marah sebab kesudahan yang sama iaitu kad aku tetap tak siap, tetapi dapat bina satu imej yang baik pada orang lain. Maafkan aku wahai warga Alex.

5. Setiap orang pasti mempunyai sebab apabila dia marah, jadi jangan mudah-mudah nak perlekehkan orang bila dia marah. Tanyalah sebab dan cubalah berada di tempat dia. Kemudiannya barulah buat keputusan yang sewajarnya.

6. Buatlah kerja sebaik mungkin agar rezeki yang dapat nanti halal lagi baik.

Nampaknya aku kena minta maaf pada pegawai tu bila aku datang lagi ke bank tu. Dan harap-harap masalah kad aku ni akan selesai. InsyaALLAH. “Pray to ALLAH” bak kata pegawai lelaki yang keluarkan duit.

ADA APA DENGAN TERIMA KASIH

Posted: November 7, 2008 in ceritera

Terima kasih, syukran, shi shie dan arigatou adalah antara ucapan yang membawa maksud penghargaan. Semua bahasa di dunia mempunyai ucapan penghargaan ini walaupun sebutan yang berbeza. Walaupun ucapan ini ringkas, namun tidak ramai yang mampu mengucapkannya. Tahukah anda betapa besarnya erti ucapan ini? Saya ingin berkongsi sebuah cerita mengenai ucapan terima kasih ini.

Masa aku form 4 dan form 5 aku belajar di mrsm Balik Pulau. Seperti Mrsm-mrsm yang lain, homeroom ataupun program mentor mentee juga wujud di sekolah aku. Dan pada masa tu anggota HR terdiri daripada 6 orang pelajar form 4, 6 orang pelajar form 5 dan seorang cikgu merangkap mentor. Cikgu aku masa tu adalah cikgu shahrul. Cikgu shahrul merupakan cikgu disiplin dan salah seorang anggota JDM(Jabatan Disiplin Maktab). Tak hairanlah ramai yang tidak suka padanya. Normalla tu. Siapa yang suka orang yang komited pada kerja dan tegas tentang disiplin pelajar.

Tetapi aku tak kisah. Cikgu shahrul ni baik orangnya yang sebenarnya. Cuma dia tegas sikit. Banyakla aktiviti-aktivit yang dijalankan dalam HR ni. Antaranya, jual keropok lekor, jual kad ucapan lolipop, jual aiskrim, yogurt, buat ucapan selamat hari raya(kiranya macam deejay radiola) dan yang paling best sekali jamuan makan dan melancong. Yela, berniaga semua tu semata-mata nak makan dan melancongla.

Bila sampai bulan ramadhan, Cikgu shahrul mesti belanja berbuka puasa. Dalam seminggu paling kurang sekali. Bila tiba musim durian pula, mesti dia belikan durian untuk anak-anak Hr dia. Pendek kata memang baikla. Ada masa tu aku dapat top ten maktab, dia hadiahkan baju kemeja. Bila aku naik form 5, dia cadangkan nama aku untuk jadi BWP(BKP). Jadilah aku Naib Presiden BWP. Masa form 5 juga aku main hoki dan dia jadi coach. Dia pinjamkan aku kayu hoki dia untuk aku guna. Nasib baikla menang tempat tiga negeri. Kalau tak rugi je dia bagi pinjam. Memang Cikgu shahrul baik terhadap anak-anak Hr dia terutamanya aku.

Masa pertengahan tahun, dia umumkan yang dia nak berkahwin semasa cuti sem. Dia jemput semua datang menghadiri ke majlis dia. Tapi di kelantanla. Cuti sem pun berlalu. Nak dijadikan cerita, hanya seorang ahli Hr aku yang hantar hadiah dan ucapan tahniah sempena perkahwinan dia. Yang lain sorang pun tak bagi termasuk aku. Teruknya kami ni. Sebulan lepas tu, anak-anak Hr dia yang lain buat masalah sehingga masuk ke dalam JDM. Memang selepas itu hubungan kami dengan dia semakin renggang. Kami semua telah melukakan hatinya.

Puas kami semua pujuk dan minta maaf tetapi tidak berhasil. Masa tu kami semua masih belum sedar kesalahan kami. Akhirnya kami tahu sebab apa. Tetapi bukan dari mulut dia. Mungkin dia tak sampai hati nak beritahu. Rupa-rupanya dia merasakan kami tak menghargai segala apa yang dia berikan kepada kami. Sebab apa? Sebab kami tak ambil penting tentang ucapan terima kasih. Kami tak ucapkan pun pada dia selepas apa-apa aktiviti. Dan kemuncaknya apabila dia kahwin, Cuma seorang sahaja yang ucapkan tahniah dan bertambah parah apabila anak-anak Hr nya masuk JDM.

Sekiranya cikgu membaca post ini, saya minta maaf banyak-banyak dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih atas segala usaha dan pengorbanan cikgu selama ini. Saya sentiasa ingat kata-kata cikgu. Cikgu pernah kata, jadi cikgu lagi susah daripada jadi doktor. Jadi doktor hanya mengubat jasad pesakit. Jadi cikgu kena ubati sikap dan perangai anak-anak murid yang macam-macam kerenah. Kata doktor sentiasa dipatuhi tetapi kata-kata cikgu anak-anak murid buat tak tahu dan kadang-kadang bersikap kurang ajar.

Terima kasih sekali lagi cikgu kerana telah ajar saya sesuatu yang tersangat penting dalam menghadapi kehidupan iaitu ucapan terima kasih. Ucapan yang ringkas dan mudah tetapi amat sukar dilafazkan sekiranya ego bersarang di dalam hati. Terima kasih Cikgu.

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WA BARAKATUH

“Sepandai pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua” dan “harapkan pagar, pagar makan padi”

Peribahasa melayu sentiasa segar buat selama-lamanya. Sentiasa releven dengan peredaran masa kerana sejarah sering berulang. Cuma watak, latar, waktu dan sedikit pengubahsuaian jalan cerita sahaja yang berbeza-beza.

Pengenalan watak-watak.

Pele(bukan nama sebenar)

Seorang pelajar tingkatan 3 cerdik, bertubuh kurus, mempunyai rambut yang lurus dan digelar “key master” kerana kebolehannya membuka segala kunci. Dia juga seorang yang kreatif dalam membaiki walkman-walkman yang sudah rosak.

Jep(bukan nama sebenar)

Seorang pelajar tingkatan 3 cerdik, bertubuh kurus, mempunyai kulit hitam manis, pandai bermain bola dan digelar Jep “perkasa” kerana dipercayai dia pernah mandi kolam di hujung padang langsung menjadi kuat(rumors dikalangan pelajar tingkatan 1 dan 2).

Usop P(bukan nama sebenar)

Seorang pelajar tingkatan 3 cerdik, bertubuh lonjong tetapi kurus, suka berjenaka, pandai bermain bola, taksub kepada wrestling dan suka melakukan stone cold stunner. Seorang pengawas sekolah dan pengawas asrama

Rahim(bukan nama sebenar)

Seorang pelajar tingkatan 3 cerdik, bertubuh sederhana, suka bermain bola walapun tak teror, suka tidur dalam kelas dan tak pernah gagal mendapatkan tempat pertama dalam tingkatan. Seorang pengawas asrama. Pernah memegang jawatan Ketua Pengawas Asrama Sesi Petang semasa di tingkatan 2.

Cikgu Ajiz(bukan nama sebenar)

Seorang guru geografi merangkap warden asrama yang paling komited dengan kerja sebagai warden. Sentiasa mengambil tahu kebajikan pelajar asrama dan asrama. Kacak orangnya.

Ustaz Rahim(bukan nama sebenar)

Seorang ustaz yang berasal dari kelantan. Sangat pandai bermain bola. Juga seorang warden. Sering menemani Cikgu Ajiz dalam melaksanakan tugas-tugas yang berkaitan dengan asrama.

Lalat(bukan nama sebenar)

Seorang ketua ASTRA iaitu ketua pelajar bagi asrama putra. Berada di tingkatan 5 dan baru sahaja masuk asrama. Kiranya Pele, Usop P, Jep dan Rahim lebih senior berbandingnya kerana dia baru sahaja memasuki asrama manakala 4 orang sekawan ini telah tinggal di arsama selama 2 tahun.

Latar masa : sekitar awal millenium

Latar tempat :

Asrama : Sebuah asrama lelaki tiga tingkat yang mempunyai 2 kamar yang boleh memuatkan 16 orang, sebuah bilik air yang besar dan sebuah bilik prep bagi setiap aras.

Asrama lelaki ini berhadapan dengan dengan asrama perempuan tetapi dipisahkan oleh sebuah dewan makan.

Di sebelah hujung bangunan asrama lelaki terdapat sebatang pokok mempelam yang tak jemu-jemu berbuah sebagai rahmat kepada pelajar-pelajar asrama.

Bilik warden: latar tempat yang paling penting kerana di sinilah kejadian yang menyayat hati telah berlaku. Ia terletak di aras 2 berdekatan dengan tangga dan pokok mempelam. Di aras ini jugalah terdapatnya kamar Pele, Jep, Usop P dan Rahim. Bilik warden dan kamar 4 sekawan ini dipisahkan dengan sebuah bilik prep.

Padang : terletak di belakang asrama lelaki dan dihujung terdapat sebelah kolam yang dipercayai telah dijadikan tempat Jep bermandi manda.

Kisah bermula.

Awal tahun tingkatan 3.

“usop, jom main ping pong kat bilik prep bawah”, ajak rahim. ” jom, aku pun tengah bosan nih”, balas Usop.

Itulah rutin harian Usop dan Rahim setiap hari selepas balik sahaja dari sekolah. Untuk tingkatan 3, 4 dan 5, kelas adalah sesi pagi. Bermula jam 8.00 pagi hinggalah jam 1.00 tengah hari. Kebiasaanya Usop dan Rahim bermain ping pong selepas makan tengah hari. Sambil-sambil menguyah tembikai, sambil-sambil bergosip, sambil-sambil buat lawak. Kadang-kadang berkain tuala sahaja. Selalunya dengan uniform sekolah. Bila prep nak mula baru kelam kabut mandi. Prep mula pukul 3.00 petang. Tapi kebiasaannya tak prep pun. Bilik prep tu hanya penuh apabila, Cikgu Ajiz datang(tu pun bila dah kena rotan), hari sabtu dan ahad sebab tengok televisyen dan seminggu sebelum exam PMR. Kalau tidak, bilik prep tu tak pernah penuh dan kebiasaannya kosong. Kesemua lebih rela untuk tidur petang. Begitu susah untuk menjadi seorang warden.

Kembali kepada cerita Rahim dan Usop. Bekalan bola pingpong tidaklah banyak. Jadi apabila bola habis, mereka akan tempah pada orang yang fly(keluar asrama tanpa kebenaran) ataupun mereka sendiri yang fly demi membeli bola pingpong. Mereka sanggup buat apa saja asalkan boleh bermain pingpong.

Ada satu hari tu, Pele dengan secara tidak sengajanya menjumpai anak kunci Tricircle. Nak dijadikan cerita, anak kunci itu boleh membuka mangga kunci(kunci mangga) bilik warden yang menjadi khazanah barang-barang rampasan dan tempat simpanan alat-alat sukan seperti pad dan bola pingpong. Sesungguhnya penemuan Pele ini adalah satu rahmat kepada pelajar-pelajar asrama dan satu bala untuk Cikgu Ajiz dan ustaz Rahim.

Dengan adanya anak kunci pada key master, Usop dan Rahim semakin galak bermain pingpong. Tidak perlu risau ketiadaan bola pingpong dan tak perlu fly dan keluarkan duit untuk membeli bola pingpong. Pinjam saja pada key master anak kunci yang menjadi penghubung kepada bilik khazanah. Apabila kehabisan bola pingpong ataupun ketiadaan pad ping pong, buka saja bilik warden dan ambil apa yang patut. Anytime pun boleh bak kata orang putih. Kegiatan Usop dan Rahim tak mengira waktu, siang atau malam tidak menjadi hal asalkan warden tiada. Namun begitu, mereka hanya mengambil bola dan pad pingpong sahaja. Barang-barang yang lain langsung tidak diusik. Itulah kegiatan mereka sepanjang awal tahun tanpa pernah kantoi.

Malam akhir peperiksaan pertengahan tahun. Keesokan harinya adalah exam lukisan.

Jep menghadapi sedikit masalah lalu mengadu kepada Pele.

Jep : Macamana ni Pele. Cikgu Ajiz tak nak bagi baju aku malam ni. Petang esok dah nak balik. Aku nak guna baju tu.

Pele : Takpa. Hang jangan risau. Malam ni kita masuk ambik.

Bermulalah al kisah menyayat hati empat sekawan. Malam tu jam menunjukkan jam 12.00 tengah malam. Kesemua lampu kamar ditutup kecuali bilik prep. Hampir semua orang berada di dalam kamar masing-masing. Bangunan ASTRI pun dah menjadi gelap. Inilah masa yang sesuai untuk Jep dan Pele bertindak. Sebelum itu, Pele ada meminta Usop dan Rahim untuk cover line bagi clear. Demi semangat setiakawan yang dipegang selama ini, Usop dan Rahim bersetuju.Jadi, operasi pun bermula dengan modus operandi ingin mendapatkan semula baju Jep yang telah dirampas oleh Cikgu Ajiz atas kesalah Jep sendiri.

Pele dengan berhati-hati membuka mangga pintu, takut-takut mengeluarkan bunyi. Perlahan-lahan pintu dibuka dan Pele masuk ke dalam. Jep mengunci pintu kembali demi untuk menghijabkan apa yang sedang berlaku disamping memberi masa kepad Pele untuk mencari baju-baju rampasan. Pada masa yang sama, Usop dan Rahim lepak di hujung koridor yang berdekatan tangga dan terdapat pokok mempelam di hujungnya sambil-sambil cover line. Sambil-sambil memuji keindahan bintang ciptaan ALLAH, bahu Usop dipegang. Usop langsung terkejut. Kemudiaannya giliran bahu Rahim dipegang. Pada waktu itu, Rahim berada di hadapan Usop. Jadi dia tidak tahu apa sebenarnya yang telah dialami oleh Usop. Dengan tersengih Rahim memalingkan kepala dan dengan pantasnya, impuls-impuls bergerak ke arah otot-otot mukanya mengubah struktur mukanya. Sengihan segera hilang langsung menunjukkan muka terperanjat dan risau.

Rupa-rupanya cikgu Ajiz, Ustaz Rahim dan Lalat yang muncul. Orang yang cover linela yang kantoi terlebih dahulu. Memang tak boleh harap. Kemudiannya Cikgu Ajiz bergerak menghala ke bilik wardennya dan Ustaz Rahim bersama Lalat bergerak memasuki bilik prep bagi mencari suspek-suspek yang lain. Dengan ganasnya Cikgu Ajis menggoncang pintu bilik sambil melaungkan,” Pele!!(guna nada yang tinggi) Saya tahu kamu ada di dalam. Baik kamu keluar sekarang!!” Namun begitu, tiada sebarang respons daripada Pele. Memangla, Pele masa tu dah kecut habis. Nak bergerak pun tak berani. Pele duduk diam di atas sofa. Setelah kecewa kerana tiada respons daripada Pele, Cikgu Ajiz kembali kepada Usop dan Rahim lantas berkata, “Pergi ke padang sekarang!!”

Akur dengan arahan Cikgu Ajiz ketiga-tiga orang suspek pun berkumpul di padang. “Buat satu barisan”, arah Cikgu Ajiz. Pada masa dan ketika inilah Cikgu Ajiz memulakan leteran yang menunjukkan betapa kecewanya dia.

Sampai hati kamu buat kat saya macam ni.

Saya percayakan kamu.

Saya harapkan kamulah untuk menjaga asrama. Bantu abang kamu F*****s(Lalat).

Tapi kamu khianati saya!!!!

Pap! Pap! Pap!.

Sorang-sorang kena pelempang. Namun begitu, hanya Usop sorang sahaja yang sempat menempis. Jep dan Rahim menjadi mangsa lempangan Cikgu Ajiz. Habis berdarah bibir Jep dan Rahim. Selepas itu Cikgu Ajiz meninggalkan mereka bertiga dengan Ustaz Rahim. Sekali lagi leteran daripada Ustaz Rahim pula. Kemudiannya Ustaz Rahim mengajak mereka bertiga ke sebuah pondok rehat yang terletak di antara bangunan ASTRA dan ASTRI. Pondok itu terletak betul-betul di depan dewan asrama. Kali ini mereka bertiga memang terkena. Ustaz Rahim menyuruh mereka bertiga mengutip 7 biji batu kecil setiap sorang.

“Ha..apalagi, kamu pusing pondok ni sambil baling batu tu ke arah meja ni. Anggapla kamu baling untuk bunuh setan-setan yang dok menghasut kamu buat jahat tu”, kata Ustaz Rahim dalam loghat Kelantan. Dengan hati yang sakit kerana Lalat menyaksikan semua yang berlaku, dan persaan malu yang amat sangat, mereka bertiga pun buatlah seperti yang disuruh. Masing-masing menyesal atas segala perbuatan yang dilakukan. Selepas itu mereka bertiga dimasukkan ke dalam bilik warden untuk bersama-sama dengan Pele. Keesokan harinya, dengan seluar track, keempat-empat orang di hadapkan dengan guru-guru disiplin seterusnya dianugerahkan cuti asrama selama 2 minggu. Kena gantungla maksudnya. Nasib baiklah biasiswa tidak ditarik. Habis setakat itu.

Kesimpulan yang dapat kita ambil dari kisah ini adalah:

a. Jadilah seorang yang amanah dengan tugas yang diberikan

b. Semangat setiakawan tak seharusnya disalah guna untuk perkara-perkara keburukan

c. Jangan sesekali melakukan kejahatan kerana akhirnya akan terkantoi jugak

d. Kembalikanlah barang-barang yang dijumpai kepada yang berhak

e. Buatlah kerja dengan sebaik mungkin( sebab buat kerja main-mainla kantoi cover line)

f. Hormatilah guru-guru anda

g. Sabar itu separuh daripada iman(kalaula Jep sabar untuk ambil kembali bajunya mengikut prosedur mesti tak berlaku perkara ni.)

h. Kawan-kawan hendaklah saling ingat-mengingati ke arah kebaikan bukan bekerjasama melakukan kejahatan

i. Kalau nak buat jahat jangan pegang apa-apa jawatan atau tanggungjawab. Tapi bolehkah? Boleh, kalau sanggup melepaskan title sebagai seorang Islam. Buatlah. Tapi balasannya nanti terimalah dengan hati yang terbuka.

Betul tak peribahasa melayu sentiasa releven. Jadi, berbanggalah dengan bahasa Melayu anda. Bangga sahaja tak cukup. Kena tingkatkan penguasaan dan kemahiran. Wallahualam. ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WA BARAKATUH